ULASAN DIALOG BAWAH POKOK SIRI 3

11220768_441220469389597_105240606545408869_oTAJUK: PEMIMPIN MAHASISWA, IDEALIS ATAU REALIS

TARIKH: 27 MEI 2015

HOST: ANIF AZAMI

PANELIS: HAFIZ ARIFFIN

FENDI OMAR

AARON DINESH

ADAM ADLI

Pada 27/5/2015 yang lepas, telah berlangsung program Dialog Bawah Pokok Siri 3 dengan tajuk yang dibawakan pada kali ini Pemimin Mahasiswa : Idealis atau  Realis, bersesuaian dengan objektif DBP yang mengarah kepada perbincangan ilmiah mencakupi gaya hidup dan tanggungjawab sebagai mahasiswa. Ahli panel yang dibawakan pada kali terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman luas dalam selok-belok dunia kepemimpinan mahasiswa. Panelis pertama, Sdr. Hafiz Ariffin, merupakan pengerusi kepada Iskandar Youth Council, juga mantan YDP MPP UTHM merangkap Pengerusi Jemaah YDP Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK) 2012/2013. Panelis kedua merupakan aktivis pelajar dan merupakan salah seorang penggiat Kelab Bangsar Utama (KBU), Sdr. Adam Adli. Panelis ketiga pula merupakan mantan YDP MPPUM merangkap Pengerusi Jemaah YDP MPPK 05/06, Sdr. Fendi Omar. Beliau juga kini merupakan aktivis Persatuan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA). Panelis terakhir adalah daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM), Sdr. Aaron Dinesh. Panel-panel yang dibawakan kali ini  mempunyai latar belakang kepimpinan yang berbeza dan dipilih bagi menjadikan diskusi kali ini lebih terbuka dan tidak berat memihak kepada mana-mana pihak.

.Seperti kebiasaan, dialog bermula pada jam 5.00 petang bertempat di sebelah Perpustakaan Utama. Namun demikian, lantaran daripada keadaan cuaca yang tidak mengizinkan kru DBP mengambil keputusan untuk memindahkan lokasi program ke ruang legar Kompleks Perdana Siswa.  Walaubagaimanapun, dialog pada kali ini tetap mendapat sambutan daripada mahasiswa malah panelis masih bersemangat membincangkan topik diketengahkan.11295590_441682539343390_1611594238294934667_n

Di awal sesi, panelis-panelis memberi pembuka kata berkenaan topik yang akan dibincangkan. Sdr. Hafiz Ariffin mendefinisikan idealis sebagai kepercayaan yang hanya berdasarkan visi atau buah fikiran manakala realis pula bersifat lebih rasional berdasarkan persekitaran. Beliau menyatakan, sifat idealis diperlukan bagi menjana idea dan kreativiti dan tidak semata-mata berlandaskan realis sahaja kerana ianya dilihat seakan-akan hanya ingin berada di ruang selamat. Menurut Sdr. Fendi Omar pula, sebagai seorang pemimpin perlu ada kedua-dua sifat dan beliau dengan jelas menyatakan bahawa mahasiswa perlu meraikan kepelbagaian idea dari pucuk pimpinan yang berbeza. Seterusnya Sdr. Aaron Dinesh pula berpendapat bahawa perjuangan dan kepimpinan perlu dipengaruhi idea bagi mencorakkan bentuk politik yang ingin dibawa. Menurut beliau lagi, sesebuah perjuangan tanpa ideologi hanyalah umpama tin kosong. Sdr. Adam Adli memberikan pembuka kata yang padat dan ringkas iaitu pemimpin mahasiswa itu sendiri perlu menjadi yang terbaik dalam menyerap kedua-dua faham tersebut iaitu menjadi individu yang realis dan dalam masa yang sama bersifat idealis. Beliau memberikan analogi menarik tentang belon dan helium. Seseorang yang idealis diibaratkan sebagai seseorang yang mempunyai idea untuk mencipta belon  dan mengapungkannya di udara dan pemikiran yang realis membolehkannya berfikir, untuk mengapungkan sesuatu perlu ada gas yang mengapungkannya iaitu helium.

Semasa perbincangan berlangsung, terdapat beberapa percanggahan pendapat namun dialog masih dapat berjalan dengan lancar dan kepelbagaian idea ini juga telah membuka mata mahasiswa untuk melihat sesuatu perkara dalam konteks dan pandangan yang berbeza. Isu politik kampus yang dikoordinasikan dengan parti politik luar antara isu sampingan yang dibincangkan. Sdr. Fendi Omar berpendapat isu melabel gerakan politik kampus dengan parti-parti politik diluar dianggap hanya sebagai gangguan kepada kelancaran sistem politk di dalam kampus manakala Aaron Dinesh pula berpendapat lebih baik jika politik kampus diletakkan di bawah parti politik luar dan amat bersetuju jika politik luar membina cawangan di dalam kampus. Hal ini kerana, bagi beliau perjuangan politik dan kepimpinan tidak akan terhenti sehingga pelajar bergelar graduan tetapi akan terus bersama dengan masyarakat kemudiannya. Maka baginya, amat wajar politik kampus dikoordinasikan dengan politik luar.

Sesi dialog turut diselangi dengan beberapa persoalan dari mereka yang hadir, antaranya ialah soalan dari Sdri. Fanitsyara Kamphon, mahasiswa Universiti Malaya, “Apakah trend pemimpin mahasiswa kini, lebih idealis atau realis?’’. Sdr. Aaron Dinesh menjawab, “Pemimpin mahasiswa dalam perjuangan demokratik. Mereka mahu agenda mereka dibawa mengikut arus tersebut. Realis dan idealis perlu ada untuk menyebarkan idealogi masing-masing. Untuk mengelakkan mahasiswa menjadi terlalu primatik dan realistik”. Manakala Adam Adli pula mengutarakan jawapan “Trend dulu tidak sama seperti trend sekarang.When it comes to student union, semua menjadi sama. Kita akan memperjuangkan benda yg sama, iaitu keperluan mahasiswa yang perlu disatukan oleh persatuan mahasiswa”. Walaupun jawapan yang diberi tidak begitu jelas namun analogi dan situasi yang diselitkan membuatkan kita faham bahawa, pemimpin mahasiswa tidak boleh dilabelkan secara keseluruhan memegang konsep idealis atau realis. Setiap individu mempunyai cara kepimpinan berbeza bersesuaian dengan matlamatnya. Soalan lain yang dikemukakan ialah dari Muhammad Afni iaitu “Apakah punca orang mengangkat individu yang idealis berbanding realis?”. Sdr. Adam Adli menyatakan, “individu-idividu idealis ini diangkat kerana idea-ideanya yang menarik perhatian tetapi pemikiran ini perlulah disalurkan kepada realistic”. Sdr. Hafiz Ariffin pula menyatakan, “Seorang idealis mempunyai idea tampil dengan perwatakan yg lebih menarik. Idea yang dilontarkan selalunya dikatakan idea yang ‘cool’. Oleh sebab itu, ramai orang lebih memandang idealis berbanding realis. Namun idealis perlu terus konsisten dan membuktikan pada penyokongnya tentang kerasionalan ideanya, jika tidak beliau tidak akan mendapat sokongan lagi”. Jawapan bagi persoalan ini turut ditambah oleh Sdr. Fendi Omar,yang berpendapat idealisme membawa kepada sesuatu kelainan dan meningkatkan populariti.

Dialog Bawah Pokok Siri 3, Pemimpin Mahasiswa : Idealis atau Realis? menyimpulkan bahawa, seorang pemimpin yang berjaya dan disegani bukan sahaja perlu idea yang gah dan hebat malah perlu ada nilai rasional dalam ideanya kerana idea yang hebat semata-mata tidak menjamin keupayaan pemimpin menjalankan amanah yang diberi. Sebagai mahasiswa, walaupun samada pemimpin ataupun bukan, kita perlu bersifat menyeluruh dan  menjadi mahasiswa yang seimbang pemahamannya dalam kedua-dua aspek ini. Menjadi idealis dan realis umpama unsur ying-yang yang membawa kepada kestabilan dalam diri individu untuk menjadi insan yang holistik dan berjaya. Pemimpin mahasiswa, idealis atau realis? Anda tafsir dan tentukan.

#DBP #SIRI3 PEMIMPIN MAHASISWA: IDEALIS ATAU REALIS


11220768_441220469389597_105240606545408869_o

Idealisme dan realisme adalah dua fahaman falsafah yang bertentangan maksudnya. Idealisme telah dipegang oleh tokoh-tokoh pemikir, baik dari Barat atau Timur selama lebih dari dua ribu tahun. Pada pertengahan  abad ke-19, idealisme merupakan falsafah  Barat yang dominan. Di pihak bertentangan, iaitu, realisme merupakan suatu andaian bahawa  fahaman ini berdiri sendiri di luar fikiran manusia dan telah diterima sepanjang sejarah.

Realisme tidak pernah dipersoalkan oleh mana-mana pemikir Barat sehingga  abad ke-17. Kebanyakan dari mereka menganggap  diri mereka itu ada, di tengah-tengah  dunia  yang tidak ada hubungannya dengan manusia. Akal manusia dan alam di luarnya saling mempengaruhi, tetapi interaksi ini tidak mempengaruhi watak dasar dari alam. Alam sudah ada sebelum fikiran manusia sedar akan adanya dan akan tetap ada setelah akal tidak lagi menyadari akan adanya.

Apa itu IDEALISME? Secara umumnya ia lebih dikenali sebagai seorang yang menerima ukuran moral yang tinggi, estetika dan agama serta menghayatinya. Idealisme dapat dimaksudkan apabila wujud seseorang itu yang dapat merencanakan dan menganjurkan satu program atau aktiviti yang belum pernah diadakan. W.F. Hocking mengatakan bahawa idealisme adalah realiti yang terdiri daripada realiti yang berlandaskan idea, pemikiran, akal atau jiwa dan bukannya material dan kekuatan. Ini telah menjadikan akal yang sebenarnya mendahului daripada material.

Apakah kita tahu bahawa Idealisme ini adalah terbahagi kepada dua konsep? Pertama ianya dipanggil sebagai Idealisme Subjektif(Immaterialisme) yang juga dinamakan juga sebagai mentalisme dan fenomenalisme. Konsep ini menjadikan seorang idealis tersebut berpendirian bahawa akal, jiwa, persepsi dan ideanya adalah sesuatu yang dimilikinya. Menurut teori ahli falsafah Ireland iaitu Goerge Berkeley, hanya akal dan ideanya sahaja yang ada. Ini ditambahkan lagi bahawa idea itu ada dan ia dipersepsikan oleh suatu akal.

Keduanya adalah Idealisme Objektif. Melalui konsep ini, ramai ahli falsafah idealis bermula daripada Plato hinggalah ke hari ini menolak subjektivisme yang ekstrim atau mentalisme, mereka juga menolak pandangan bahawa dunia luar itu adalah buatan manusia. Mereka berpendapat bahawa peraturan dan bentuk dunia, begitu juga pengetahuan, adalah ditentukan oleh watak dunia sendiri. Menurut Plato, dunia terbahagi kepada dua bahagian. Pertama, dunia persepsi, dunia penglihatan, suara dan benda-benda individual. Kedua , terdapat alam di atas alam benda, iaitu konsep, idea, universal  atau sebuah intisari yang bersifat abadi. Oleh itu, konsep manusia mengandungi realiti yang lebih besar daripada yang dimiliki oleh seseorang itu. Kita pula dapat mengenal perkara-perkara tersebut kerana mengetahui konsep-konsep ini dari contoh yang bersifat kekal.

Bagaimana pula dengan REALISME? Ia adalah bererti menunjukkan apa yang ada. Secara umumnya, realisme bererti kepatuhan kepada fakta, kepada apa yang terjadi, jadi bukan kepada yang diharapkan atau diinginkan. Jika dilihat dari segi falsafahnya, realisme dianggap adalah objek yang boleh diketahui kewujudannya menggunakan pancaindera sama ada melalui pendengaran, penglihatan dan sebagainya. Rentetan daripada itu, kita ketahui  atau persepsikannya yang mempunyai hubungannya dengan pemikiran kita.

Walaubagaimanapun, realisme mempunyai tiga aliran yang perlu difahami. Pertama adalah kecenderungan kepada materialisme dalam bentuk moden. Sebagai contoh, materialisme mekanik adalah realisme tetapi juga bersifat materialisme. Kedua adalah kecenderungan terhadap idealisme. Ini mungkin dianggap sebagai akal atau jiwa yang merupakan keseluruhan organik. James B. Pratt dalam bukunya yang berjudul Personal Realism mengemukakan bahawa bentuk realisme seperti sukar dibezakan dari beberapa jenis realisme objektif. Jenis yang ketiga pula berlaku apabila terdapat kelompok realisme yang menganggap bahawa realiti itu pluralistik dan terdiri daripada bermacam-macam jenis jiwa dan material hanyalah merupakan dua dari beberapa jenis lainnya. Walaubagaimanapun, realisme Platonik (klasik) adalah lebih dekat kepada idealisme moden daripada realisme moden.

Apa kaitannya pula dua konsep yang diutarakan oleh penulis terhadap seorang pemimpin mahsiswa? Perlukah seseorang yang bergelar pemimpin kepada mahasiswa itu menuruti dua konsep ini untuk dijadikan sebagai perencah dalam dirinya untuk digelar sebagai seorang pemimpin yang berjaya. Penulis ingin mengingatkan bahawa pemimpin mahasiswa bukanlah tertakluk kepada Majlis Perwakilan Pelajar di Universiti sahaja. Ia juga meliputi apabila seseorang mahasiswa turut menjawat jawatan tertinggi dalam organisasi di kampusnya sendiri sama ada diperingkat kolej, fakulti mahupun pusat. Ini akan menjadikan mereka terus bersungguh-sungguh untuk menjadikan apa yang dijawatnya itu adalah yang terbaik dari kalangan terbaik disebabkan oleh rasa tanggungjawabnya sendiri dan juga kesan daripada dua konsep ini yang diceritakan penulis.

Maka benarlah bahawa konsep idealisme dengan realisme ini tak ubah seperti elemen ying yang. Hal ini kerana ianya seperti melengkapi antara satu sama lain apabila ia dipraktikkan oleh seseorang itu.  Cuba kalian bayangkan jikalau seseorang itu amat petah dalam berpidato tetapi, bila disuruh mempraktikkan apa yang diucapkannya itu tidak menjadi. Apakah dua konsep yang dibincangkan ini benar-benar diamalkannya? Harus diingat bahawa, walaupun tiadalah sehebat Soekarno seseorang itu dalam berpidato dan berhujah tetapi, gerak kerjanya yang menghasilkan satu keputusan yang cemerlang. Ini membuktikan bahawa untuk dilihat sebagai beridealisme dan realisme cukuplah hanya membuktikan hasil kerja yang memberikan sumbangan yang baik kepada masyarakat.

Niat penulis bukanlah hendak memperlekehkan golongan pemidato tetapi, hakikat masyarakat kita pada hari ini adalah kebanyakannya bercakap seperti seorang cendekiawan yang semestinya sudah mampu mengalahkan seorang menteri bercakap. Apabila ditanya mengenai track record yang pernah dihasilkannya, perkara sebaliknya pula yang berlaku. Apakah situasi-situasi yang sebegini sudah memadai untuk melabel seseorang itu beridealisme dan realisme?

-#MP & ANAYILZAF

#SIRI2 DIALOG BAWAH POKOK: SUKARELAWAN

10409303_10152757123945667_6106255520444365186_n

Dunia sukarelawan adalah tidak asing lagi bagi kita sebagai Anak Muda yang lebih-lebih apabila bergelar sebagai seorang Mahasiswa. Perkara ini adalah disebabkan oleh, penglibatan mereka dalam aktiviti-aktiviti di Universiti mereka yang kebanyakannya adalah berkait rapat dengan sifat sebagai seorang sukarelawan. Oleh itu, tidak hairanlah andai kita melihat pelbagai program seperti Bakti Siswa, Jalinan Masyarakat, University Community Engagement dan juga penubuhan 1Malaysia for Youth yang wujud di setiap kampus tidak kiralah samalah swasta mahupun awam kerana ianya adalah untuk memupuk semangat kesukarelawan dalam kalangan mahasiswa.

Apakah yang dimaksudkan dengan kesukarelawanan? Menghayati takrifan sebenar kesukarelaan adalah membuat sesuatu perkara tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran daripada sesiapa. Tambahan pula, kerja ini adalah sesuatu yang amat mulia di sisi Allah s.w.t lebih-lebih lagi kita sebagai umat Islam sangat digalakkan dengan melakukan kerja amal seperti menolong saudara yang tidak berkemampuan, memberikan kasih sayang kepada golongan yang memerlukan dan sebagainya. Dalam hadis Nabi yang bermaksud: “Golongan yang berkasih sayang antara satu sama lain adalah seperti satu tubuh badan, jika salah satu anggota badan itu sakit maka keseluruhan anggota akan merasai kesakitannya”.                                                                      

                                                               sukarelawan

                Namun, bercakap mengenai aktiviti yang tidak mendatangkan upah dan ganjaran wang ini tetapi, apakah sebenarnya yang dimahukan oleh para sukarelawan setelah menceburkan dirinya dalam bidang ini? Pastinya adalah kepuasan(statifaction) apabila timbul perasaan lega dan bangga kerana dapat membantu orang lain yang memerlukan,disamping yang dibantu itu pula menghargai bantuan dan sumbangan yang diberikan. Akan tetapi, pada persoalan penulis apakah kepuasan, lega dan bangga yang menjadi keutamaan untuk seseorang itu untuk bersukarelawan ?

Selain itu, mereka juga terdorong dengan perasaan  altruisme(altruism) atau keinginan untuk melakukan sesuatu kebaikan kepada orang lain. Altruisme ini lahir daripada sifat semulajadi manusia serta penyerapan nilai-nilai sosial yang dialami individu. Maka pendorong kepada kerja ini selain kepuasan dan agama, menjadikan seseorang itu amat positif kepada dirinya dan pihak sasar yang mendapat manfaat daripadanya.
Walaubagaimanapun, aktiviti ini tidak terbatas kepada kerja-kerja amal seperti gotong royng dan sebagainya. Ia juga mencakupi pelbagai aspek seperti perjuangan sosial dan politik untuk menuntut kemerdekaan atau memperbaiki nasib anak bangsa; rasa prihatin yang timbul dalam diri untuk menaburkan bakti dan khidmat kepada masyarakat dengan berbuat sesuatu (biasanya dalam bentuk perkhidmatan); akibat pengalaman peribadi atau tragedi yang berlaku terhadap diri sendiri atau orang yang terdekat dan tersayang; ingin berbuat amal dengan memberikan sumbangan dalam bentuk wang atau barangan; untuk mendapatkan keredhaan Tuhan, iaitu mengikut ajaran agama; menyertai aktiviti kesukarelaan yang didokong oleh kerajaan atau beberapa buah kerajaan, iaitu menyahut seruan kerajaan; dan sebagai khidmat kepada negara.

Ini diterjemahkan melalui sumbangan yang tidak ternilai pentingnya kepada masyarakat. Contohnya ialah memberikan bantuan ketika bencana dan kecemasan; meningkatkan mutu pendidikan melalui kelas bimbingan, taman didikan kanak-kanak dan latihan kemahiran; menjalankan pendidikan komuniti dalam pelbagai bidang seperti belia, alam sekitar, kepenggunaan, memerangi dadah, dan AIDS; menganjurkan kelas agama; menganjurkan aktiviti mengisi masa lapang; membantu mengatasi masalah sosial seperti kemiskinan, rasuah, dan ketidakadilan sosial; menyelesaikan isu-isu pekerja seperti hak berkesatuan, gaji dan cuti; melaksanakan latihan kepemimpinan untuk pemimpin pelapis, menjayakan program negara seperti Sukan Komanwel; dan menggerakkan bantuan kemanusiaan untuk Palestin, Bosnia, Kosovo dan lain-lain.

Namun, kegiatan sukarelawan ini dilihat semakin tidak relevan kerana ramai dalam kalangan kita hanya mementingkan kebendaan sekiranya menceburi kegiatan ini. Ini menjadikan kegiatan sukarelawan semakin tidak mendapat tempat dalam kalangan belia khususnya mahasiswa. Walaupun di sesebuah instistusi itu wujudnya badan sukarelawan seperti Sekretariat Kesukarelawan Universiti Malaya di Universiti Malaya tetapi, yang menyertai dan menggerakannya hanyalah sebahagian kecil mahasiswa sahaja. Mereka berandaian bahawa kegiatan-kegiatan sedemikian ini hanyalah membazirkan masa hujung minggunya sahaja, lebih baik menghabiskan masa hujung minggunya bersama rakanya ataupun melepak di mana-mana kompleks memebeli belah.

Walaupun kenyataan yang sedemikian diutarakan oleh penulis seperti satu tuduhan kepada golongan sukarelawan ini. Akan tetapi itulah realitinya yang berlaku pada masa kini. Walaubagaimanapun, kurangnya penglibatan anak muda dalam kegiatan bukanlah punca kepada segalanya. Akan tetapi, faktor sebahagian daripada organisasi kesukarelaan tidak mempunyai sistem pengurusan, sokongan dana dan strategi pemasaran yang kukuh, manakala sesetengah organisasi kesukarelaan yang besar jumlah anggotanya terpaksa menjalankan terlalu banyak aktiviti sehingga kehilangan focus. Hal yang sedemikian inilah menyebabkan kegiatan sukarelawan ini semakin hilang keberkesanannya.

Maka kegiatan sukarelawan ini adalah satu kerja yang jarang-jarang boleh dilakukan jika tidak dihayati maksud sebenarnya dan tidak berlandaskan kepada syariah yang sebenarnya. Oleh itu, kerja ini perlu dihidupkan kembali kerana kebanyakan masalah yang berlaku di negara kita ini adalah kerana kurangnya kesedaran untuk membantu sesama kita. Walhal kita semua adalah bersaudara yang mana pepatah Melayu ”berat sama dipikul,ringan sama dijinjing”.

-#MP

”Community work (especially community development work) is the process of assisting people to improve their own communities by undertaking autonomous collective action”- Alan Twelvetrees (2008)

”Community practice is the application of practice skills to alter the behavioral patterns of community groups, organizations, and institutions or people’s relationships and interactions with these entities”. -Hardcastle & Powers (2004; hal.3)

LAPORAN: ERTI AKTIVISME DARI SUDUT PANDANGAN AKTIVIS #DBP #SIRI1 #AKTIVISME

Alhamdulilah, berakhir sudah Program Dialog Bawah Pokok Siri 1 yang diadakan di Bazar Karat UM, KPS pada 8 April 2014 yang berlaku dengan jayanya. Awalnya idea untuk program ini dilontarkan dengan harapan membudayakan ilmu di kalangan orang ramai, serta mengkayakan khazanah keilmuan dalam pengetahuan dan sekaligus Bahasa Melayu. Ternyata, anak-anak muda di Universiti Malaya masih cakna terhadap wacana dan diskusi intelektual, dan begitu suka untuk hidup di tengah kerencaman idea dan jalur fikir. Aktivis-aktivis dari luar yang dijemput ialah Jabdin Juhat, Aktivis Abata, Nadia Liyana, Kelab Filem Bangsar, Ezzuandi@Pakwan, Pengasas Bersama Dapur Jalanan, Hadi Khalid, Aktivis Aman dan Marwan Kahar, Aktivis Mahasiswa. Sebelum Dialog Bawah Pokok (DBP) tersebut bermula, terdapat persembahan istimewa oleh D’Bayu Buskers yang dianggotai oleh pelajar-pelajar UM sendiri. Semasa DBP tersebut berjalan, telah disediakan Zon Membaca dimana pelbagai koleksi buku disediakan dan juga Zon Makan dan Minum bagi mereka yang menyertai DBP. Host DBP, Saudara Anif Azami memulakan dengan memperkenalkan sedikit tentang aktivisme.

Dunia Aktivisme adalah satu dunia yang mana kita memperlihatkan aksi oleh sekumpulan manusia itu, sama ada secara fizikal mahupun sebaliknya. Akan tetapi, aksi perlakuan oleh si pelakunya itu sudah pasti akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada mereka yang menerimanya. Hadi Khalid memulakan penceritaannya dahulu tentang aktivisme. Menurut beliau, masyarakat zaman sekarang lebih dan selalu mengaitkan aktivis dengan politik. Mereka tidak sedar bahawa aktivis tidak semestinya harus mempunyai kaitan dengan politik. Pada pandangan beliau, aktivis ialah orang yang bergiat dengan aktif dalam sesuatu dan juga mereka yang menggerakkan sesuatu. Jika kriteria begitu ada dalam diri mereka, barulah mereka benar-benar boleh digelar sebagai aktivis. “Isu yang saya bawa lebih sensitif tetapi tidak semesinya salah.”, kata Hadi Khalid.

Seterusnya Jabdin Juhat dari Aktivis Tanah Air (ABATA) menyatakan, “Aktivisme adalah suara yang kita boleh salurkan ketika belajar ataupun bila sudah tamat belajar”. Beliau juga menerangkan bahawa Aktivis Tanah Air adalah kumpulan Persatuan Mahasiswa yang terdiri daripada presiden-presiden kolej dan juga YDP Persatuan Mahasiswa. Beliau mengatakan bahawa mereka (ABATA) percaya bahawa ABATA ialah platform untuk menaikkan semula kewibawaan pelajar-pelajar Aspirasi yang tidak mempunyai tempat dimana-mana kerana “Aktivisme adalah suara yang kita boleh salurkan tidak kisah sama ada semasa sedang belajar ataupun sudah tamat belajar.”,katanya lagi.

Setiap orang telah diberi peluang yang sama rata untuk menyuarakan pendapat mereka. Namun, pendengar setia DBP juga tidak ketinggalan untuk bertanya dan berkongsi pendapat mereka sendiri. Muhammad Hakim bin Roslan, telah bertanya, “Apakah pendapat mereka, tentang fakta bahawa dimana aktivisme berlaku, masyarakat disekeliling tempat aktivisme tersebut berlaku kurang atau tidak menyenangkan. Dan mereka akan memandang serong tentang aktivisme yang berlaku dihadapan mata mereka. Pada aku, gelaran aktivis diberi apabila mereka hanya Berjaya mendatangkan solusi dalam sesuatu perkara yang mereka usulkan.” Lalu, Pakwan yang merupakan pengasas bersama Dapur Jalanan yang menjawab persoalan Saudara Hakim dan juga bersetuju. Menurut beliau, aktivisme tidak boleh dibuat secara kosong. Apa yang diperjuangkan oleh seseorang aktivis itu, mestilah mempunyai idea yang mengikatnya dan harus dikekalkan momentumnya. Dalam kata lain, para aktivis harus mempunyai nilai teras untuk aktivisme dapat menunjukkan sesuatu kepada masyarakat.

Diantara soalan-soalan yang dilontarkan, Saudara Anif Azami juga telah bertanya bahawa, apakah pandangan para aktivis yang dijemput tentang apa yang mereka rasa tentang apa pro-establishment buat dan anti-establishment buat. Marwan Kahar, Aktivis Mahasiswa dan juga mantan Ketua Jentera Penggerak Mahasiswa berkata, pucuk pangkalnya, aktivisme ini adalah konsep dimana, “Kau nak buat, kau buat.” Dan tidak lupa juga, beliau berkata bahawa idea untuk sesuatu perkara adalah titik permulaan dan perkara paling penting dalam aktivisme. Jabdin Juhat dari ABATA turut menambah, bahawa jika sesuatu perkara yang dilakukan menjadi kritikal, seseorang aktivis itu patut menyelesaikan masalah yang timbul, dan bukannya hanya berdiam diri. Dalam erti kata lain, perlu ada damage control. Satu ayat beliau yang masih segar di ingatan ialah, “Kita jangan takut dan jangan rasa terikat, yang penting kita tidak lari dari tujuan asal sebagai aktivis.”.

Tidak ketinggalan juga satu-satunya aktivis jemputan perempuan kita iaitu Nadia Liyana untuk menyampaikan pandangannya dan cerita perjalanannya sebagai aktivis. Menurut beliau, “Kelab Filem Bangsar menyediakan platform untuk pembikin filem indie yang mempamerkan karya mereka di tempat kami.”. Di samping itu, beliau juga menjawab satu soalan dari Saudari Solehah yang bertanyakan bahawa “Sekiranya ada keadaan yang genting, bagaimana beliau akan bertindak balas menyelesaikan keadaan tersebut?”. Lalu Saudari Nadia Liyana menjawab, “Kita harus mencari kesesuaian untuk mengelakkan diri dari keadaan tersebut dan dari memperangkapkan diri sendiri. Inisiatif harus dicari, bukan harus ditunggu. Antara salah satu inisiatif untuk mengembangkan aktivisme saya sendiri juga, saya telah menjalankan usahasama dengan Dapur Jalanan.”.

Sebelum hos DBP, Anif Azami menggulungkan sesi DBP tersebut, Marwan Kahar juga ada menambah tentang bagaimana seseorang aktivis perlu mempunyai sasaran dan kenapa kita memilih jalan atau perkara tersebut. “Know the system first, get to know the program and then get hold of the program.”. Begitulah sedikit kupasan tentang intipati dan ilmu yang dikongsi antara aktivis-aktivis jemputan dan juga mahasiswa/I UM yang hadir semasa Dialog Bawah Pokok (DBP) Siri 1.

“Ilmu itu tumpang menumpang, murid menumpang ilmu guru, guru juga turut menumpang kebijaksanaan muridnya. Itulah dia ‘taawun’ iaitu saling mengambil manfaat antara satu sama lain.”

― Nik Abdul Aziz Nik Mat

                Perkara yang baik kita kongsikan dan perkara yang buruk kita perbetulkan sama-sama. Jumpa lagi dan nantikan DBP Siri 2.0 tidak lama lagi.

934829_10152703066965667_7329995628395525403_n11102606_10152701459070667_4481210057276901760_n

#SIRI1 DIALOG BAWAH POKOK: AKTIVISME

Dunia Aktivisme adalah satu dunia yang mana kita memperlihatkan aksi oleh sekumpulan manusia itu, sama ada secara fizikal mahupun sebaliknya. Akan tetapi, aksi perlakuan oleh si pelakunya itu sudah pasti akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada mereka yang menerimanya. Memang diakui bahawa dalam landskap kehidupan kita hari ini selalu dicorakkan dan diukir oleh pengenalan AKTA dan pelbagai jenis dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Sang Pemerintah.

Walaubagaimanapun, aktivisme juga mempunyai peranan yang sama dimainkan oleh orang politik, yang membezakan hanyalah medium atau lapangan manakah yang digunakan oleh aktivisme dan ahli politik ini. Namun, kegiatan aktivisme ini adalah bersifat indiependent kerana kebanyakan mereka bergerak secara sukarela dan mencari dana untuk menggerakan kerjanya sendiri. Hal ini kerana ramai daripada kalangan kita melihat kegiatan aktivisme adalah satu perbuatan yang membazirkan masa kerana ianya dilihat seperti perbuatan yang tidak berpenghujung.

Memang diakui bahawa kegiatan aktivisme seperti yang diperkatakan oleh kebanyakan daripada masyarakat kita pada hari ini. Walaubagaimanapun, kesan yang lahir daripada sebuah kegiatan aktivisme mampu meninggalkan kesannya sehingga hari ini seperti, di Indonesia sebelum merdeka (1908-1927) sekumpulan pelajar menaja gerakan Boedi Oetomo (Budi Oetomo) atau Usaha Suci yang kemudiannya melahirkan Sumpah Pemuda (1928) yang terkenal itu … nasionalisme Indonesia menentang penjajahan Belanda. Gerakan pelajar jugalah yang melahirkan tokoh nasionalis Soekarno dan Hatta. Semasa Gerakan GESTAPO 1965 yang menjatuhkan pemerintahan Soekarno-Hatta, dan gerakan Reformasi di lewat 1990-an yang menumpaskan rejim General Soeharto berikutnya, juga menyaksikan peranan aktif golongan belia-pelajar. Walaupun sudah berpuluh tahun Gerakan Boedi Oetomo berkubur akan tetapi apa yang dibawanya masih lagi menjadi ikutan para aktivis di Indonesia hari. Hal terjadi semasa penulis berada di Indonesia yang ketika itu para aktivis dan Presiden Jokowi merayakan hari Sumpah Pemuda dengan membacakan sumpah tersebut bersama-samanya. Ini membuktikan bahawa apabila perilaku aktivis pada suatu masa dahulu betul-betul memberi kesan kepada masyarakat sudah pasti apa yang dilakukannya itu akan dituruti oleh mereka yang seterusnya sebagai penyambung legasi.

Menjadi sinonim bagi kita bahawa aktivis ini adalah sebagai agen perubahan bagi sesebuah bangsa. Hal ini dapat diceritakan dalam sebuah artikel yang ditemui penulis.“ Pemuda, sebagai agen dari suatu perubahan (agent of change) dituntut untuk mengubah keadaan yang terjadi di lingkungan sekitarnya, seperti upaya mengubah ketidakberpihakan keputusan pemerintah terhadap masyarakat dan mereka menjadi jembatan penghubung antara rakyat dengan pemerintah. Perkara ini dapat dibuktikan semasa Gerakan Reformasi 1998 menjadi catatan perjuangan generasi muda dalam memberantas ketidakadilan dan kejahatan sosial.

Masyarakat juga masih mengatakan bahawa menyertai kegiatan aktivisme adalah seperti menyertai kegiatan politik dek kerana kebanyakan kegiatan aktivisme pada hari ini banyak berkait rapat dengan parti-parti politik. Hal ini kerana   Ardhi Rasy Wardana mengatakan bahawa, aktivisme merupakan serangkaian kegiatan yang dilakukan secara fizikal maupun nonfizikal berupa aksi dan tulisan ataupun berbagai bentuk propaganda yang semata-mata ditujukan untuk kepentingan rakyat. Oleh itu tidak hairanlah sekiranya kita melihat pada hari ini parti-parti politik di negara ini giat mempergunakan para aktivis ini bagi memudahkan gerak kerja mereka dalam politik.

Oleh itu, pelbagai kegiatan ataupun bidang yang diceburi oleh kita pada hari ini seperti menyertai sukarelawan bergiat dalam penulisan pun sudah dikira sebagai seorang aktivis. Hal ini sama juga seperti golongan pendakwah yang terus mengajar dan memberi pemahaman kepada masyarakat mengenai agama juga layak digelar seorang aktivis. Haruslah diingat bahawa gelaran untuk seorang aktivis bukanlah diperolehi melalui kegiatan politik sahaja. Malah, pelbagai cara lagi yang boleh dilakukan oleh seseorang yang menceburi bidang aktivisme.

Kesimpulannya, apabila bercakap mengenai aktivisme, kita masih berada di tahap yang baharu kerana fikiran kita hanya

#Siri1 DIALOG BAWAH POKOK : AKTIVISME
#Siri1 DIALOG BAWAH POKOK : AKTIVISME

tertumpu kepada politik sahaja. Oleh yang demikian, inilah tujuan sebenar penulis mengadakan Dialog Bawah Pokok ini bagi membincangkan maksud sebenar aktivisme dan perlakuannya yang dilakukan dalam kegiatan aktivisme hari ini.